Setelah diperkenan oleh kedua ibu bapanya, Samsul mula mengorak langkah menuju ke sebuah pengembaraan yang beliau tunggu-tunggu sejak pertemuan dengan Hanapi Mahmood lalu. Dengan berbekalkan semangat juang dan segala perisai yang ada di dada, beliau memulakan langkah dengan Bismillah. Tak perlu risau, Samsul masih ingat tuhan dan beliau masih belum kafir.
Namun begitu, segala coretan memohon restu Che Nurgayah dan Ghani Che Mat merupakan satu pembohongan. Sanggup Samsul menggunakan alasan untuk menjadi seorang yang berjaya dalam bidang kedoktoran sedangkan wajah dirinya atas stage mula terbayang-bayang di benak kepala otaknya.
¨Kau kelentonglah mak ayah kau sikit. Kalau kau cakap jujur, diorang mesti tak suka punya. Mana ada mak bapak suka tengok anak dia jadi rockstar!¨
Ligat otak Samsul menyusun kosa kata untuk pembentangan kepada orang tuanya.
¨Nanti aku tunggu kau kat depan stesen bas.¨
****
Seperti yang dirancang dan tuhan tentukan, Hanapi sudah terpacak depan tiang ruang menunggu bas sambil menggalas beg Hello Kitty.
¨Lama tunggu?¨
Soalan yang sering bermain dalam kotak fikiran Samsul. Acapkali beliau terfikir soalan ini, beliau mesti akan menjustifikasikan setiap maksud tersirat yang terpadat dalam ayat tersebut. Selalunya, jawapan bagi mainan otak Samsul biasanya melebihkan kepada orang yang mengutarakan soalan ini. Biasalah, orang penting selalu ditunggu.
¨Jom, bas kita dah sampai.¨
****
Bagaikan seekor katak dibawah tempurung, Samsul melihat segala keindahan dunia disekelilingnya tanpa mengerdipkan mata walau sekali. Hanapi pula sibuk bersandiwara dengan makwe yang ada di sebelah. Mungkin satu hari nanti terbuka pintu hati makwe itu menerima cinta seorang yang mahu jadi rockstar. Tapi, lebih menjengkelkan, mata makwe tersebut tepat memandang ke arah Samsul yang hanya menghadap ke tingkap bas sambil mengunyah keropok Twisties. Pelik.
¨Tengok tu, belum jadi lagi dah ada orang minat. Cuba kau bayangkan kalau kau dah feymes satu hari nanti. Mesti berebut punya perempuan cari kau,¨ tersekat-sekat suara Hanapi akibat dilempang laju-laju oleh makwe itu.
Keindahan ciptaan Ilahi yang dipotretkan melalui pandangan Samsul lebih menarik perhatiannya. Hanapi seolah-olah bercakap dengan kerusi bas. Kesian. Mungkin selama ini Samsul hanya dapat melihat pokok-pokok bunga di rumah beliau. Barulah beliau sedar bahawa Tuhan ini Maha Kaya mencipta pelbagai keseronokan untuk cucian mata. Senyum nipis Samsul.
*****
¨Woi, bangunlah! Kita dah sampai dah ni.¨
Dunia adamaya Samsul terhenti. Jauh beliau merewang sehingga ke Pakistan sebentar tadi.
¨Layan tingkap sampai terlentok. Agak-agaklah brader.¨
Sekali lagi Samsul senyum nipis. Beliau mengesat saki baki air liurnya sambil diperhatikan makwe Twisties tadi. Makwe itu hanya melontarkan senyuman manja dengan harapan dapat no telefon Samsul.
Perasaan seperti berada di dunia Alice In Wonderland, Samsul mula menghirup udara baru. Ada sedikit campuran asap-asap bas dan kenderaan lalu lalang. Memang ini yang diharapkan Samsul. Satu perubahan! Harap-harap misinya kali ini berjaya dengan gemilang, hati Samsul menggeletek keriangan sambil tumbukan padu ke udara dilepaskan.
¨Ayah, mak, adik, tunggu dan lihat satu hari nanti.¨
Tiada ulasan:
Catat Ulasan